Tuesday, April 17, 2012

Pancing ikan 8.9

Tajuk macam demonstrasi pulak, ada point sembilan (.9). Tapi, yang ni, sebab masa aku pi mancing bawah jambatan pada Rabu, 11 April 2012, di Sumatera berlaku gempa bumi berukuran 8.9 skala ritcher. Patut pun la, air pasang hari tu laju semacam. Ini sedikit update trip aku pada hari tu:
Petang sebelumnya, aku jenuh melilau cari umpan ikan temenung, merata-rata tempat aku singgah. Tempat-tempat yang biasanya ada ikan-ikan segar, langsung tak ada. Ah Eng, anak toke kat market Jalan Tujuh, bagitau yang ikan temenung langsung tak ada. Ikan lain pun biasa-biasa sahaja, tak banyak. Mau, tak mahu, aku beli udang untuk buat umpan. Nasib baik sebab udang pun segar lagi. Ingatkan nak menjala malam tu, tapi, rasa malas la pulak.
Esoknya, aku bergerak keluar dari rumah. Aku dengan anak aku sampai dekat jeti Ujung Batu, Bagan Dalam lebih kurang pukul 8 pagi. Sampai di jeti, dah ada beberapa orang sedang menunggu sampan. Sedang kami menunggu sampan, aku tunjuk dekat anak aku, ular air sedang mengendap ikan-ikan belacak yang bermain tepi gigi air. Dalam dok tengok-tengok ular, sampan sampai. Kami ramai-ramai punggah barang dan bergerak ke bawah jambatan. Pemandangan indah, boleh tengok helang menyambar ikan, dan sekawan burung gagak, terus menyerang dan cuba merampas ikan dari burung helang.
Tak lama kemudian, kami sampai, aku pilih tiang 45. Ramai jugak, hampir penuh tiang no 30-50. Sampai saja, aku terus pasang set pancing dan letak mata kail apollo. Dah tugas rasmi, anak aku kena cari umpan apollo sementara aku memasang set-set pancing yang lain .
Air laut sedang turun dari arah Pulau Aman menyonsong ke arah dermaga feri di Butterworth, ini menunjukkan air surut.
Aku menyuruh anak aku mengunjun apollo di tepi tiang jambatan. Hasil yang diperolehi ialah ikan bilis dan ikan selar. Ikutkan, banyak anak-anak ikan boleh dipancing menggunakan apollo.
Teknik apollo, bagi aku, adalah asas bagi aktiviti memancing, terutama jika ingin mendaratkan ikan-ikan spesis pemangsa seperti jenahak, senangin, merah, talang atau alu-alu.
Apollo, atau setengah artikel aku baca, merujuk kepada sabiki, adalah sejenis ikatan yang mempunyai banyak mata kail. Ikatannya adalah jenis ikatan patenoster, cumanya, ikatan dibuat untuk mata kail yang bersaiz kecil. Dalam simpanan aku, sentiasa tersedia sabiki bersaiz 8 hingga 9, dengan kekuatan tali 10-15 paun dan bermata kail kecil, sesuai untuk menaikkan ikan bilis. Tapi, jangan tak percaya, kerapu, talang dan jenahak antara ikan yang pernah aku naikkan menggunakan apollo saiz ini. Senangin pun pernah aku dapat. Dan paling best, aku tak perlu nak ikat teruk-teruk perambut. Dengan modal RM1.80-2.50, dapat perambut yang mempunyai 6 matakail.
Berikut antara contoh apollo atau sabiki yang ada dipasaran. Yang besar tu, ada bulu ayam dan tali berkekuatan antara 20-30 paun. Yang ini aku standby untuk guna di tuas atau kawasan yang mempunyai ikan bersaiz besar seperti temenung borek atau cencaru. Kalau di tuas, saiz ni sesuai untuk menaikkan ikan cencaru kuda yang mencecah hingga hampir 2kg!
Dalam tengahhari, lebih kurang pukul 1, air mulai pasang, sempat aku bawak naik ikan kerapu dengan mengunakan ikan bilis. Manakala, anak aku, dia kata dapat ikan, bila dikarau, seekor ikan daun bahru berjaya dinaikan (tapi dah nak mati pun). Tak tau berapa lama dah tersangkut kat matakail yang berumpan udang.
Pancing lain, yang berumpankan ikan bilis dan selar, yang dibuat umpan, tak berjaya menaikan walau ada tarikkan. Menjelang petang, air semakin laju, malah terlalu laju dan tinggi daripada biasa. Dalam pukul 4.45 petang, aku menerima panggilan yang tak putus-putus memaklumkan berlaku gegaran gempa bumi dan amaran stunami telah dikeluarkan. Cuak jugak walau berdasarkan pengalaman aku, stunami mengambil masa antara 2-3 jam untuk sampai ke Penang. Aku cakap bukan sebab pandai terlebih, tapi, stunami yang melanda pada tahun 2004, aku sedang memancing dengan anak aku di Batu Feringgi. Aku sempat lari sebab melihatkan keadaan sekeling, keadaan air, gulungan ombak dan air yang datang dari jauh, buat aku awal-awal melarikan diri ketempat yang lebih tinggi. Malang buat berpuluh-puluh pengunjung yang lain yang meninggal dunia.
Apapun, ramai pemancing yang pada fikiran aku, mendapat panggilan telefon, kerana dengan serentak, semua mengemas barang-barang pancing. tapi dalam pada tu, ada jugak yang tak tahu dan mereka tak balik kerana over nite bawah jambatan. Disebabkan ramai pemacing nak balik waktu yang sama, aku kena tunggu hingga trip ke 4 untuk balik.
Alhamdullilah, pukul 6 lebih, sampan datang dan bawak aku dan anak aku balik ke jeti dengan selamat.

cyber-lake.com Top Fishing Sites