Wednesday, October 11, 2017

Ikan Gelama

Ikan Gelama, Sand Croaker
Ikan Gelama, atau dalam bahasa Inggeris, dirujuk sebagai Sand Croaker. Ada juga,
merujuk sebagai Jewfish. Bagaimanapun, pada pendapat saya, Jewfish adalah merujuk kepada
spesis gelama yang besar, juga dikenali sebagai Ibu Gelama atau disebelah utara sebagai Gelama
Pisang. Pada pendapat saya, nama sand croaker adalah merujuk kepada sifat ikan gelama itu
sendiri, yang banyak mendiami kawasan berpasir (sand) dan apabila dipancing, ia akan
mengeluarkan bunyi – krok, krok..Maka, dengan itu, namanya disebut, sand croaker.
Ikan Gelama atau sand croaker ini adalah dari keluarga Seiaenidae. Ia mendiami hamper semua
jenis kawasan berair masin. Antara habitatnya adalah kawasan persisir pantai pasir atau berselut,
muara sungai, sungai yang berair payau, kawasan laut dan juga laut dalam. Ikan Gelama, kalau di
sebelah Penang, orang-orang Cina Hokkien merujuk kepada Gulama dan kadang-kadang, bunyai
hampir kepada U’lama
Bagi saya, yang menetap di Pulau Pinang, ikan gelama boleh dipancing hampir dimana-mana
sahaja. Bahkan, bagi pemancing yang baru menceburi aktiviti memancing, atau ingin beriadah
bersama-sama dengan keluarga, memancing gelama adalah satu pengalaman yang menarik.
Bagaimanapun, bagi pemancing tegar, atau mereka yang ingin memancing ikan-ikan spesis besar
yang lain, maka ikan gelama adalah di ibarat pengacau.
Ikan gelama adalah ikan yang hidup didalam kumpulan, maka, jika seseorang itu memancing, dan
hasil yang diperolehi adalah gelama, pasti ikan-ikan yang akan naik seterusnya adalah ikan
gelama. Ada sesetengah pemacing, mereka akan berpindah lubuk jika spesis
dinaikkan adalah ikan jenis gelama, kerana, apa bila ikan gelama yang mendominasi kawasan
tersebut, peluang untuk ikan spesis berharga lain hampir tiada. Ia umpama, bila tikus keluar,
bermakna tiada kucing. Jika ikan gelama banyak, bermaksud, ikan pemangsa seperti jenahak,
kerapu, senangin, atau siakap tiada, maka, ikan-ikan kecil akan bermaharajalela. Ikan gelama
adalah antara ikan mangsa, atau sumber makanan bagi ikan-ikan pemangsa besar yang lain.

Antara jenis-jenis ikan gelama:
1. Gelama Minyak (biasa) – paling senang dipancing
2. Gelama Bongkok – bersaiz besar hampir saiz kasut lelaki dewasa
3. Gelama Tengkerong – Sedap tetapi sukar ditangkap, umpan, hirisan ikan. Boleh cecah 2kg +
4. Gelama Hitam
5. Gelama Pisang/Ibu Gelama


Teknik Pancingan Gelama
Sand croaker ini boleh dipancing hampir apa sahaja teknik bawah (bottom), antara ikatan pancing
yang saya suka guna untuk memancing ikan gelama ini ialah ikatan paternoster dan single hook.
Ikan gelama bukanlah ikan yang memilih atau sensitive terhadap ikatan mata kail. Ianya akan
membedal hampir apa sahaja, asalkan matakail diletakkan umpan. Mata kail yang digunakan
adalah bersaiz kecil. Saya lebih suka menggunakan set perambut yang telah sedia diikat dan boleh
dibeli di kebanyakkan kedai pancing iaitu dikenali oleh pemancing tempatan dengan nama Apollo.
Rasanya, perambut ini dikembangkan oleh orang-orang Jepun, Ikatan paternoster Sabiki ini
merujuk kepada satu tali besar, mungkin 15-20 paun (lb), dan diikat dengan 6-8 mata kail kecil.
Disetiap hujung ikatan Apollo ini, akan diletakan swivel atau kekili untuk disambung dengan tali
utama pancing dan dibahagian bawah, diletakkan ladung. Teknik ini paling menjimatkan masa,
kerana, pancing dapat disiapkan tidak sampai dari 2 minit. Di setiap matakail Sabiki, selalunya
akan diletakkan biji manik yang bercahaya dan juga ada sedikit rerambut atau bulu-bulu plastic
halus yang berfungsi sebagai penarik anak-anak ikan untuk memakan matakail tersebut. Bagi
saya, ikatan Apollo yang menggunakan kulit ikan sebagai penarik dimata kail adalah yang terbaik.
Teknik ini, lebih terkenal untuk mendapatkan umpan seperti ikan kembung / temenung atau
mackerel, tamban, plata atau selar dan juga anak-anak bilis.

Kalau gelama tengkerong, persiapan boleh guna matakail dan perambut yang lebih kasar sebab saiz ada sehingga 1-2 kilogram. Gelama tengkerong ada kawasan tertentu, ini kena rujuk dengan nelayan atau kaki pancing tempatan. Dikatakan, kawasan yang ada tengkerong ni, ada senangin. Teknik pancingan boleh guna pancingan biasa, tetapi umpan, isi ikan. Boleh guna isi ikan temenung (la ni dah mahal, tahun 2010, RM3/kg, 2017 RM18/kg) atau isi belanak.

Untuk menggunakan Apollo bagi menangkap gelama, setiap mata kail, perlu diletakkan umpan.
Kemudian, hanya baling dan tunggu. Jika kawasan tersebut mempunyai banyak ikan gelama,
pasti, tidak sampai 5 minit, pancing anda pasti disentap oleh ikan. Saya pernah memperolehi ikan
gelama lebih dari 120 ekor ikan gelama pada 1 malam pancingan.
Bila menggunakan teknik Apollo ikan lain seperti ikan tanda, bebulus, senangin, sembilang,
kerapu bahkan senangin juga berpeluang dipancing..


Umpan
Ikan gelama tidak memilih umpan, boleh dikatakan hampir semua upan boleh digunakan.
Bagaimanapun berikut adalah umpan-umpan yang selalu saya guna bagi menjerat gelama :
1. Udang pasar (kerat halus)
2. Hirisan ikan kembung/temenung – paling sesuai untuk gelama tengkerong
3. Sotong
4. Anak bilis
5. Kerang
6. Perumpun Nipah
7. Perumpun pasir Cacing pasir
Umpan lain yang berpotensi
1. Udang hidup (gelama kecil akan gigit sikit2 udang besar) dan ini pengacau umpan
2. Anak ketam angina
3. umang-umang
4. isi siput kepah
Masa Pancing Yang Sesuai
Ikan gelama tidak memilih air pasang atau surut. Maka, ia boleh dipancing pada bila-bila masa.


Set Pancingan
Set pancingan biasa sudah boleh digunakan. Sebaiknya, untuk pancingan pantai, guna rod yang
bersaiz 7 kaki keatas, medium atau light weight. Kekili bersaiz 1000 hingga 3000 dengan tali
berkekuatan 10-20 paun, sepanjang 100-200 kaki sudah memadai. Ini kerana ikan gelama biasa
tidak memiliki daya juang yang tinggi. Tapi jika, umpan, di makan oleh Gelama Pisang atau
Gelama Tengkerong, perlawanan pasti menarik.
Pancing menggunakan koyan (handline) juga boleh dipraktikkan bg mereka yg tidak mempunyai
budget atau kewangan yang terhad, seperti pelajar universiti dan sebagainya..
Lain-lain
Ikan gelama juga boleh dibuat umpan. Antaranya, umpan untuk ikan kerapu, jenahak, senangin
dan alu-alu. Bagaimanapun, ikan gelama ini kurang effektif, berbanding umpan ikan yang lain
seperti, kembung, selar, atau udang hidup.
Masakan
Ikan gelama bukan sahaja senang dipancing, malah sedap jika dimasak kalau kena cara. Hanya dengan
menggoreng rangup, ikan gelama sudah cukup enak dimakan panas-panas, kuah gulai cair, ada ulam dan sambal.

Antara resepi masakan
untuk ikan gelama ialah, bakar, stim, masak pindang (masak air), kari, masak pedas, masak lemak
cili padi – ini sedap ni, kukus dan goreng tepung/perisa.
Ikan gelama juga sedap jika dibuat sebagai ikan masin atau ikan kering.
Kalau di Pantai Timur Malaysia - Kelantan dan terangganu, harga ikan gelama masin boleh mencecah sehingga RM60/kilogram dan jika musim ikan gelama masuk ke muara, kita boleh lihat banyak bot-bot kecil didalam muara, memancing ikan gelama.

No comments:

Post a Comment

cyber-lake.com Top Fishing Sites